Berita Harian
13th December, 2021
BANGI: Malaysia meneroka pengeluaran bahan api biodiesel dan biojet generasi kedua menerusi kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Pengerang Maritime Industries Sdn Bhd, Shanxi Construction Investment Group Co Ltd (SCIG) dan Institut Kimia Arang Batu Akademi Sains China.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata menerusi pemeteraian kerjasama empat pihak itu, bahan api generasi kedua itu dijangka dapat dikomersilkan ke pasaran global dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.
Katanya, menerusi perjanjian persefahaman (MoU) itu, sebuah kilang minyak sayuran berhidrogen (HVO) akan diwujudkan di Pengerang, Johor membabitkan pelaburan berjumlah RM3 bilion dan akan mewujudkan hampir 800 pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
“Kilang berkenaan berpotensi mengeluarkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) atau lebih dikenali sebagai bahan api biojet di mana ia membabitkan usaha pemecahan dan penghidrogenan minyak sawit menjadi bahan api hidrokarbon yang dapat digunakan dalam industri penerbangan.
“Pelaburan bernilai kira-kira RM3 bilion ini merangkumi pengambilalihan tanah dan aspek infrastruktur. Fasa pertama kilang ini dapat menghasilkan kapasiti sebanyak 500,000 tan setahun.
“Kerjasama membabitkan kilang HVO di Malaysia itu akan terus mendorong pertumbuhan ekonomi. Saya yakin projek ini akan menyuntik lebih banyak nilai ke atas produk minyak sawit Malaysia dengan memperkukuh dagangan dalam produk yang mempunyai nilai tambah,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU antara empat pihak berkenaan di sini, hari ini.
MoU itu bertujuan untuk menggalakkan pertukaran teknikal dalam pengeluaran biodiesel dan biojet generasi kedua terletak di yang terletak di Pengerang Maritime Industrial Park (PMIP).
SCIG ialah syarikat milik negara (SOE) yang dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan wilayah Shanxi.
SOE bercadang untuk melabur dalam kilang pengeluaran HVO di Malaysia.
Mengulas selanjutnya, Zuraida berkata, kerjasama yang akan mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-China itu mampu menjadi pemangkin kepada penerimaan China ke atas pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai produk bahan mentah untuk pengeluaran bahan api bio yang akan meningkatkan pengiktirafan MSPO di pasaran global.
“Pelaburan ini boleh dilihat sebagai komitmen antara Malaysia dan China dalam meneroka teknologi termaju baharu membabitkan produk minyak sawit sebagai pengganti selaras Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) untuk mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 untuk Malaysia.
“Projek berkenaan akan menyediakan platform kepada kedua-dua negara dalam mengukuhkan aspek kerjasama teknikal dalam menghasilkan bahan api bio generasi kedua pada masa depan,” katanya.
Beliau menjelaskan, kajian berkaitan bahan api biodiesel dan biojet generasi kedua yang membabitkan teknologi hijau telah dilaksanakan sejak enam bulan lalu dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Pada masa ini, industri terbabit diterajui oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Finland, Neste Corporation yang mengeluarkan HVO di Singapura dengan kedua-duanya adalah negara bukan pengeluar minyak sawit.
“Malaysia sebaliknya adalah negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia manakala China adalah antara negara yang mengimport minyak kita. Oleh itu, saya berpendapat bahawa kita juga mampu melakukan lebih baik daripada Neste Corporation pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Luar Shanxi, Wang Chongjun berkata, pembinaan kilang HVO itu akan bermula sebaik kajian terbabit selesai yang mana akan turut menentukan jenis teknologi dan kemudahan yang diperlukan.
“Kita berhasrat menggunakan produk minyak sawit Malaysia seperti minyak sawit yang telah menapis semua nutrien seperti vitamin atau minyak sisa bagi penghasilan biodiesel dan biojet generasi kedua ini.
“Pengaturan rancangan pengeluaran itu pada masa ini adalah bahan api biojet atau SAF, diesel hijau dan produk bahan kimia hijau berkaitan yang seiringan dengan pengeluaran produk berkaitan.
“Kami menjangkakan pengeluaran produk ini untuk pasaran eksport ke Eropah dan China,” katanya.