​KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Unit milik penuh Benalec Holdings Bhd, Benalec Sdn Bhd menerima surat setuju terima (LoA) daripada TNB Fuel Services Sdn Bhd bagi kontrak yang melibatkan pengangkutan arang batu pukal.

Firma pembinaan marin itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa berkata LoA berkenaan diterima secara rasmi pada hari yang sama.

“Tempoh kontrak untuk tempoh prinsipal dua tahun iaitu bermula 6 Jun 2025 dan berakhir 5 Jun 2027 dengan pilihan untuk dilanjutkan selama satu tahun atas persetujuan bersama,” katanya.

Di bawah perjanjian tersebut, Benalec akan mengangkut 3.5 juta tan metrik arang batu setiap tahun dalam tempoh kontrak awal dengan TNB Fuel mengekalkan hak untuk meningkatkan jumlah sebanyak 20 peratus.

Kadar pengangkutan di bawah kontrak itu akan berkisar antara US$4.84 hingga US$88.75 setiap tan metrik dengan bayaran dibuat dalam ringgit berdasarkan kadar pertukaran yang dinyatakan oleh Bank Negara Malaysia.

Benalec berkata kontrak berkenaan tidak akan menjejaskan modal saham atau struktur pegangan sahamnya.

“Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 dan seterusnya sehingga ia disiapkan,” katanya.

Ia berkata tiada risiko ketara dijangkakan walaupun syarikat akan terus memantau dan mengurus sebarang potensi risiko sepanjang tempoh projek.

“Ahli Lembaga Pengarah, setelah mempertimbangkan semua aspek kontrak berpandangan ia demi kepentingan terbaik syarikat,” kata Benalec.

–BERNAMA