KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Benalec Holdings Bhd, iaitu Benalec Sdn Bhd, memperoleh kontrak bagi mengangkut arang batu pukal daripada TNB Fuel Services Sdn Bhd.
Firma pembinaan marin itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pihaknya telah menerima surat setuju terima (LoA) rasmi bagi kontrak berkenaan.
Menurut Benalec, kontrak itu adalah untuk tempoh prinsipal selama dua tahun, berkuat kuasa mulai 6 Jun 2025 hingga 5 Jun 2027, dengan pilihan untuk dilanjutkan selama setahun lagi atas persetujuan bersama.
“Perjanjian itu membabitkan pengangkutan sebanyak 3.5 juta tan metrik arang batu setahun, dengan TNB Fuel mempunyai pilihan untuk meningkatkan jumlah itu sebanyak 20 peratus,” katanya.
Kadar tambang pengangkutan bagi kontrak itu adalah antara AS$4.84 hingga AS$88.75 bagi setiap tan metrik, dengan bayaran akan dibuat dalam mata wang ringgit berdasarkan kadar pertukaran yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut Benalec, kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan tahun-tahun berikutnya sehingga ia selesai dilaksanakan.
“Kontrak ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada modal saham terbitan atau struktur pegangan saham syarikat,” jelasnya.
Syarikat itu turut memaklumkan tiada sebarang risiko ketara dijangkakan daripada kontrak itu, namun pemantauan rapi akan terus dilakukan.
Lembaga Pengarah Benalec, selepas meneliti semua aspek, berpandangan bahawa kontrak terbabit adalah demi kepentingan terbaik syarikat. – Bernama